03 Januari 2008

kisah benar di tanah suci..(berkat sayangkan kucing-makhluk Allah swt..)

Kisah ini mengenai seorang wanita
Muslimah Melayu berasal dari Perak yang
menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur,
lutut pun lemah dan sentiasa sakit,
menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan
saie. Dia mengupah petugas Arab
menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf
dan tujuh kali berulang alik antara
Bukit Safa dan Marwah.
Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie
saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur.
Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.
Namun, ada satu amalan mulia dimiliki
Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah
Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi
kucing di desanya.

Dia amat suka memelihara kucing. Di
rumahnya banyak kucing. Dia melayan
makan dan minum kucing. Dia pungut
kucing yang dibuang orang, diberikan
makan dan minum, dirawat dan dimandikan
dengan sabun wangi.

Walaupun banyak kucing jalanan itu
lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh,
tetap diambilnya untuk dirawat di
rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit
serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat
kucing kurap.

Maka terkenallah rumahnya jadi pusat
rawatan kucing. Mana-mana kucing yang
mati dikuburkan di kebunnya. Demikian
begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk
Allah yang lemah lembut itu.

Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya
manja, gemuk dan sihat, serta
cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya,
yang ikhlas.

Tahun itu beliau berangkat, menunaikan
haji dengan menggunakan perkhidmatan
Tabung Haji. Gembira dan sayu nian
kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah
Suci, solat di Masjidilharam dan melihat
Baitullah di depan mata sudah terkabul
sudah.

Ingin di hatinya untuk tawaf
banyak-banyak seperti orang muda dan
sihat. Tetapi apakan daya, lututnya
sakit manakala badan uzur. Setelah solat
fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa
dan pertolongan Allah, agar hajatnya
dimakbulkan.

Pada suatu hari, semasa hendak pergi
solat di Masjidilharam dengan keadaan
bertongkat, beliau terjumpa seekor
kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.

Apabila kucing itu hendak bangun
berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan
nian wanita tua itu melihat makhluk
Allah itu menderita dan sengsara di kota
suci Makkah.

Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya
tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan
sebungkus nasi berlauk dan diberikan
minum air zam-zam yang murni.

Dengan takdir Allah, kucing itu pulih
dan sihat. Kucing itu telah menggesel
kaki Muslimah tadi, lalu menjilat
kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib
sungguh, kaki dan lututnya yang sakit
tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat,
seperti orang muda.

Muslimah tua tadi dapat tawaf
sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya.
Tertunailah hajat yang terbuku di
hatinya selama ini, berkat menolong
seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan
menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang
solihah tadi berserta rombongannya
bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.

Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di
Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong
melihat seekor kucing yang mirip kucing
yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.

Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat
itu sambil matanya merenung sayu
padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke
anak tangga teratas, kucing tadi
ghaiblah daripada pandangannya.

Tiada ulasan:


ClusterMaps

Jumlah pelawat.

Powered By Blogger