25 April 2008

Antara MoDaL, MoDeL, MeDaL dan MoDuL

sumber: Harian metro


TOKOH korporat sentiasa berfikir bagaimana hendak mencari modal. Semasa menjalankan aktiviti perniagaan, mereka juga berikhtiar bagaimana hendak pulang modal. Seterusnya mereka perlu berusaha untuk mencari untung yang berlipat kali ganda setelah ditolak modal asal. Modal terbahagi dua iaitu modal asas perniagaan dalam bentuk harta benda, wang, saham, hartanah dan modal berteraskan kemanusiaan iaitu modal insan.

Manakala golongan artis selalu berangan-angan bagaimana hendak menjadi seorang model. Mereka berlatih bersungguh-sungguh sama ada cara berjalan mahupun gaya fesyen pakaian agar diumumkan sebagai model yang memikat ramai peminat.

Kini, model adalah merupakan suatu kerjaya yang glamor dan mendapat sambutan menggalakkan dari para peminat khasnya golongan muda dan remaja.

Ahli sukan pula setiap hari memerah keringat untuk memburu medal (pingat). Tanpa mengira apa jua warna medal yang diperoleh, mereka tetap tabah untuk merealisasikan hasrat itu.

Bermula dengan pusingan kelayakan, pusingan pertama, kedua, suku akhir, separuh akhir hinggalah ke pertandingan akhir, atlet perlu bersemangat waja memburu medal. Ada tiga medal yang menjadi buruan iaitu emas, perak dan gangsa.

Dari mana datangnya si angsa,

Dari reban turun ke tanah,

Dari mana emas, perak dan gangsa,

Dari atlet yang kuat lagi amanah

Seterusnya golongan akademik terutamanya pensyarah dan para guru begitu asyik membina modul pengajaran dan pembelajaran. Modul perlu dibina, dibincangkan, dipraktikkan, diuji dan jika didapati berkesan ia perlu disebarkan. Tanpa modul yang berkesan, proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas memang sukar untuk mencapai objektif yang dihasratkan.

Dalam konteks bahasa Arab, keempat-empat aspek di atas sangat dititik beratkan. Kesemua aspek tersebut sangat penting untuk mempelajari dan menguasai bahasa Arab dengan mudah. Tanpa salah satu daripada aspek tersebut, harapan untuk menguasai bahasa Arab agak sukar diperoleh.

Dengan kata yang lain, seseorang pelajar perlu mengeluarkan modal, berusaha menjadi seorang model, merebut medal dan mengikuti modul yang ditetapkan. Berbekalkan usaha ini, insya-Allah seseorang pelajar dapat mempelajari dan menguasai Bahasa al-Quran dengan lebih terancang.

Program 4MDL (MoDaL, MoDeL, MeDaL, MoDuL) adalah program menggabungkan empat golongan yang berjaya iaitu ahli perniagaan, artis, ahli sukan dan ahli akademik. Hasil analisis kejayaan yang dicapai oleh keempat-empat golongan ini dihimpunkan dalam suatu modul yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk seminar atau bengkel teknik mudah mempelajari bahasa Arab.

Dalam hal ini, mulai Selasa lepas hingga Jumaat ini, penulis dan beberapa ahli akademik bermesyuarat di salah sebuah hotel di Seremban. Fokus perbincangan ialah bagaimana membina modul teknik mudah menguasai bahasa Arab untuk para pelajar.

Teknik mudah ini akan dijadikan modul yang sesuai dalam bentuk buku manual. Seterusnya bengkel teknik mudah ini akan diadakan di beberapa sekolah yang berminat.

Sehubungan itu, dua kursus khas selama empat hari tiga malam kepada guru-guru bahasa Arab dirancang diadakan pada Julai dan Ogos ini. Ia melibatkan 60 peserta dari seluruh negara. Kursus kali pertama dijangka akan diadakan di Negeri Sembilan dan yang kedua di Sabah.

Kursus ini diadakan secara percuma. Semua perbelanjaan ketika menghadiri kursus seperti makan minum, tempat tinggal dan tambang perjalanan ditanggung oleh pihak penganjur kursus.

Antara isi kandungan kursus tersebut ialah teknik guna bahasa badan, teknik intonasi berkesan, teknik mempraktikkan zikrullah, teknik guna kata pinjaman, teknik panggilan mesra berkomunikasi, bengkel akhbar dalam darjah (ADD), bengkel majalah dalam darjah (MDD) dan teknik memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Selain itu para guru dan pensyarah juga didedahkan dengan pengurusan mudah mengadakan bengkel tersebut di sekolah atau di institut.

Kepada mana-mana guru sama ada sekolah rendah mahupun menengah dan para pensyarah sama ada Institut Perguruan mahupun Matrikulasi yang berminat boleh menghantar resume ringkas kepada emel di atas secepat mungkin untuk menyertai kursus tersebut.

Tiada ulasan:


ClusterMaps

Jumlah pelawat.

Powered By Blogger