11 Mei 2008

Dilema lelaki tertinggi dunia

sumber: berita harian

Oleh Nurul Adlina Kamaludin




Leonid Stadnik setinggi 2.59 meter mahu tempuhi kehidupan biasa, cari bakal isteri

JOLOKAN lelaki tertinggi dunia yang ketika ini milik Leonid Stadnik - jejaka setinggi 8 kali 5 inci atau 2.59 meter - terbukti masih belum dapat menggembirakan rakyat Ukraine ini.

Apa tidaknya, ketika aspek fizikalnya dikagumi ramai dengan andaian beliau mudah melakukan pelbagai tugasan tanpa perlu menggunakan tangga seperti orang lain, hakikatnya Stadnik yang dipertontonkan kepada dunia, Isnin lalu, selaras statusnya sebagai lelaki tertinggi dunia oleh Guinness Book of Records, terbukti masih belum puas hati.


Jauh di sudut hatinya, jejaka bujang berusia 37 tahun ini sebaliknya ‘cemburu’ dengan kehidupan insan normal lain yang mudah mencari pasangan dan memulakan kehidupan berkeluarga.

Bagi Stadnik, keinginannya itu cuma tinggal impian yang diharapkan mampu direalisasikan pada akhirnya.

“Saya cuma ingin mencari pasangan bahagia. Saya mahu menjadi seperti bekas pemegang rekod lelaki tertinggi dunia dari China, Bao Xishun yang berkahwin tahun lalu,” katanya yang hidup ditemani ibu tuanya berusia 66 tahun di sebuah perkampungan kecil di Podoliyantsi, pedalaman Ukraine.

STADNIK menaiki basikal khas yang dihadiah kepadanya ketika bersiar di kampungnya di Podolyantsi, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara, Kiev.

Stadnik secara rasminya merampas gelaran lelaki tertinggi dunia daripada Bao pada 2006 apabila ketinggiannya disahkan pada 2.57 meter.

Tetapi, sehingga kini, beliau enggan diukur secara rasmi oleh pihak Guinness Book of Records atas alasan terlalu bencikan ketinggiannya serta tidak mahu dikenali ramai.

Stadnik menganggap keadaan fizikalnya sebagai ‘hukuman Tuhan’ dan sering mengelak daripada melihat cermin.

Bukan setakat kesunyian dan kemelut menyesuaikan diri dengan jolokan itu, hakikatnya ada banyak masalah serta dilema yang terpaksa dilalui Stadnik yang mengalami pembesaran badan luar biasa selepas menjalani pembedahan otak sewaktu berusia 14 tahun.

VIKTOR Yushchenko bersalaman dengan Stadnik, lelaki tertinggi dunia dalam pertemuan di Kiev, baru-baru ini.

Siapa sangka, pembedahan itu menyebabkan tubuhnya mengeluarkan sejenis hormon yang menggalakkan pertumbuhan badan secara berlebihan - satu keadaan yang dikenali sebagai ‘acromegalic gigantism’.

Masalah itu menyebabkan kesihatannya terjejas selain berdepan kesukaran bergerak sehinggakan terpaksa berpaut pada batang dan ranting pokok atau dinding rumahnya untuk berjalan.

Lebih memburukkan keadaan, saiz tubuh dan ketinggiannya terus bertambah dari sehari ke sehari. Dilema itu menyebabkannya yang sayangkan haiwan, terpaksa berhenti kerja sebagai pegawai veterinar di sebuah ladang ternakan lembu, selepas berdepan kesukaran ke tempat kerja apabila kakinya ‘mereput’ kerana kering disebabkan suhu yang terlalu sejuk.

Stadnik tidak mampu memiliki kasut khas untuk dipadankan dengan kakinya yang sepanjang 43 sentimeter itu.

Akibatnya, beliau banyak menghabiskan masa dalam rumah kecilnya, bertemankan dinding empat penjuru yang sempit selain sering dihimpit kesunyian dan kekosongan yang terus mencengkam.

Semua laluannya di rumah setingkat itu sukar dilalui berikutan ketinggiannya. Berat badannya yang mencecah 200 kilogram pula menyebabkan Stadnik sering sakit lutut dan bergerak menggunakan alat bantuan seperti topang.

Namun, jolokan sebagai lelaki tertinggi dunia itu jugalah yang mendedahkannya kepada kemurnian kehidupan dan kasih sayang yang merentasi sempadan.

Apa tidaknya, ada hikmah di sebalik kesengsaraan sebagai lelaki tertinggi dunia serta di peringkat Ukraine pada empat tahun lalu apabila beliau menjadi perhatian dunia.

Perhatian yang disusuli rasa kasih daripada insan tidak dikenali dalam bentuk kiriman pakaian, rumahnya yang dulu menyaksikannya terpaksa mengeluh untuk mencari air, kini mempunyai paip air sendiri. Baru-baru ini Stadnik menerima basikal khas bagi memudahkan pergerakannya.

Dan Isnin lalu, Presiden Ukraine Viktor Yushchenko menghadiahkan pula sebuah kereta baru.

“Saya tidak menyangka dunia masih ramai dengan insan yang berhati mulia dan prihatin dengan penderitaan orang lain biarpun kita tidak pernah bertemu. Terima kasih kepada semua yang membolehkan saya memiliki kasut dan pakaian,” katanya mengenai banyak hadiah sumbangan yang diterima dari pelbagai negara asing.

Gelarannya juga membawanya merantau ke beberapa negara seperti Jerman yang memberi peluang kepada Stadnik buat pertama kali merasai pengalaman berada di taman tema, tahun lalu.

Tidak lama kemudian, Stadnik terkejut apabila menerima penghantaran sebuah komputer daripada syarikat Ukraine yang membolehkannya mengenali lebih ramai rakan menerusi internet di Amerika, Australia dan Russia selain belajar bahasa Inggeris.

Atas dasar itulah Stadnik menaruh harapan untuk menemui bakal isteri.

“Hanya masa yang menentukannya. Saya amat yakin dengan ketentuan itu.”

FAKTA

  • Lelaki tertinggi dunia mengikut rekod adalah rakyat Amerika Syarikat, Robert Pershing Wadlow pada 1940

  • Beliau mempunyai ketinggian 2.78 meter atau 8 kali 11 inci

  • Dilahirkan pada 22 Februari 1918

  • Mati pada 15 Julai, 1940, di sebuah hotel akibat nanah pada buku lali kanannya selepas memakai alat bantuan khas.

  • Kerandanya berukuran 3.28 meter panjang dan lebar 81 sentimeter.
  • Tiada ulasan:


    ClusterMaps

    Jumlah pelawat.

    Powered By Blogger