11 Mei 2008

Bas 'ganas' di New Delhi

sumber: berita harian

Oleh Shamsiah Sanin


PENDUDUK New Delhi terpaksa bergayut dan duduk di bumbung bas setiap pagi untuk ke pejabat.

Penduduk menggelar bas Blueline sebagai kenderaan pengangkutan awam 'paling ganas' di ibu negara India

PENDUDUK di ibu negara India, New Delhi baru-baru ini digemparkan dengan tindakan pihak berkuasa menahan dan menggantung tugas 98 pegawai polis, selepas mereka dirakam sedang menerima rasuah daripada beberapa pemandu bas dikenali sebagai ‘Blueline’, kenderaan pengangkutan awam yang disifatkan ‘paling ganas’ di bandaraya itu.

Seorang ejen hartanah Chetan Sharma, dilaporkan berjaya merakamkan aksi pegawai polis terbabit menerima rasuah daripada pemandu bas berkenaan ketika beliau berusaha membongkar salah laku anggota polis di bandaraya itu.


New Delhi, memang sudah lama terkenal dengan kesesakan lalu lintas dan ramai pemandu kenderaan yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas, terutama pada waktu puncak.

Penulis yang berkunjung ke bandaraya itu tidak lama dulu menyaksikan sendiri bagaimana sesaknya keadaan lalu lintas di New Delhi yang mempunyai penduduk kira-kira 14 juta orang.

Sekiranya anda memandu kenderaan di jalan raya New Delhi, anda tidak akan berpeluang memotong kenderaan lain jika anda tidak membunyikan hon dengan kuat. Malah, hampir semua kenderaan pengangkutan awam, memasang papan tanda 'please honk' atau 'please horn' di belakang kenderaan masing-masing.

Berikutan itu, setiap kali waktu puncak, bunyi bising dan hiruk-pikuk kenderaan memang tidak dapat dielakkan dan itu tidak termasuk kenderaan yang melanggar arahan lalu lintas dan lampu isyarat.


Bagaimanapun, keadaan ini sebenarnya belum dapat menandingi masalah yang dicetuskan bas Blueline kerana sejak 2004 ia sudah menyebabkan 600 kematian akibat pelbagai nahas, malah penduduk New Delhi sendiri menggelarkan bas Blueline sebagai 'the killer bus' atau 'bas pembunuh'. Setakat ini dipercayai ada kira-kira 2,000 hingga 3,000 bas Blueline beroperasi di bandaraya itu.

Kisah pejalan kaki dilanggar bas Blueline, bas melanggar lampu isyarat, memasuki jalan sehala dari arah bertentangan dan kisah penumpang tercampak keluar dari bas adalah kisah biasa membabitkan bas ini. Terbaru, empat penumpang yang sedang bergayut di pintu bas itu dilanggar sebuah bas lain berikutan keadaan jalan terlalu sempit.

Penduduk di New Delhi mempunyai ungkapan lucu mereka sendiri bagi menggambarkan bas blueline dengan menyatakan... "Pengganas bukan hanya membawa senjata, tetapi sebilangan mereka memandu bas".

Bagaimanapun, kekurangan perkhidmatan bas awam menyebabkan penduduk di bandaraya itu yang bergantung kepada bas tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menaikinya dan ini memburukkan lagi keadaan.

Bas Blueline yang beroperasi di New Delhi dimiliki orang perseorangan dan dikendalikan bagi memberi kemudahan kepada orang awam. Kaedah memilikinya juga mudah. Seorang pembeli membeli sebuah bas, mendapatkan permit dan kemudian menyerahkannya kepada penyewa. Penyewa kemudian membayar wang sewaan kepada pembeli itu antara Rs3,000 hingga Rs4,000 sehari (RM300 hingga RM400) sehari.

Seorang pegawai di jabatan pengangkutan berkata, dari sinilah masalah 'keganasan' bas Blueline bermula kerana bas terbabit tidak mempunyai laluan tetap dan terpaksa sentiasa bersaing sama ada sesama mereka atau dengan bas lain setiap hari.

Penyewa bas tidak mempunyai pilihan berikutan mereka terpaksa walau dengan apa cara sekalipun membayar sewa yang dikenakan pemilik. Dia juga perlu menjaga pendapatan dan keuntungannya sendiri dan berikutan itu pemandu terbabit akan memandu laju untuk menjimatkan masa.

Penyewa biasanya memperoleh antara Rs7,000 hingga Rs8,000 sehari dan daripada jumlah itu dia perlu membayar pemilik bas antara Rs3,000 hingga Rs4,000 sehari. Dia juga perlu membaiki kerosakan bas, membayar gaji pekerja dan menguruskan keperluan lain. Ini bermakna penyewa berkenaan memperoleh Rs3,000 (RM300). Mereka sentiasa di dalam keadaan tertekan untuk mendapatkan wang secukupnya setiap hari.

"Pemilik bas biasanya tidak tahu bagaimana bas mereka dikendalikan. Jika mereka tahu dan mengendalikan sendiri bas itu, mereka pasti lebih berhati-hati," katanya.

Ada khabar angin menyatakan bahawa kebanyakan bas Blueline dimiliki orang yang 'berkuasa' dan ini dikatakan menjadi punca mengapa jabatan pengangkutan sering lambat bertindak, manakala perbuatan merasuah polis memburukkan keadaan.

Berikutan itu, jika anda berkunjung ke bandaraya ini berwaspadalah. Jika anda menghadapi masalah jantung, cari pilihan lain dan elakkan daripada menaiki bas Blueline.

Tiada ulasan:


ClusterMaps

Jumlah pelawat.

Powered By Blogger