11 Mei 2008

Baseco pulau satu ginjal

sumber: berita harian

Susunan Hafizah Iszahanid




Sedia pelbagai kemudahan termasuk elaun, bonus kepada penjual buah pinggang

KEMISKINAN membuatkan manusia sanggup melakukan apa saja walaupun perbuatannya boleh mengancam nyawa sendiri.

Di Baseco, tengah Manila, perdagangan ginjal dilakukan secara terbuka sejak 1990 berikutan sambutan luar biasa. Ginjal yang dijual bukan saja dibeli oleh warga Filipina yang kaya tetapi mendapat sambutan hangat di kalangan warga Eropah, Timur Tengah dan Jepun.


Dengan harga RM268,000 (bergantung pada hospital yang dipilih) pesakit buah pinggang tidak perlu lagi melalui penderitaan dengan rawatan menerusi mesin dialisis.

Baseco atau di kalangan orang tempatan ia dikenali sebagai "pulau satu ginjal" memang pusat tumpuan urusan jual beli ginjal. Walaupun perdagangan itu berselindung di sebalik pendermaan organ, ia adalah 'rahsia' yang diketahui hingga ke Jepun, Eropah dan Timur Tengah.

Di pasar ginjal Baseco, terlalu ramai penduduk yang menanti giliran menjual ginjal kerana desakan hidup. Kebanyakan mereka adalah penduduk miskin yang perlu menjual ginjal untuk terus bernafas dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit. Walaupun mungkin tahu mereka adalah mangsa dalam perdagangan tidak beretika itu, apa lagi pilihan yang ada untuk menyara keluarga.



Dengan bayaran serendah RM6,7000 - jumlah yang cukup besar bagi 15 juta penduduk yang hanya memperoleh RM6.70 sehari - semua mereka sanggup menjual ginjal asalkan anak-anak tidak kebuluran.

Di pulau satu ginjal, tiada siapa tahu berapa ramai yang meninggal dunia di meja pembedahan atau mati kerana jangkitan. Bagaimanapun, jika angka itu diketahui pun, ia tidak akan memadamkan hasrat mereka untuk menjual ginjal. Kebanyakannya sanggup berbuat demikian kerana memerlukan wang untuk terus hidup dan menyara keluarga.

Contohnya, Jeffrey Avila, 16, menjual ginjal kerana galakan ibu bapanya.

"Saya sangat takut tetapi saya tiada pekerjaan sedangkan saya perlu membantu keluarga," katanya.

Kebanyakan ahli keluarga Avila terus hidup hasil perdagangan ginjal. Sepupunya, Nog Nog, 18 sudah menjual ginjalnya dan masih sihat. Walaupun Avila kelihatan sangat takut untuk berbuat demikian tetapi dia menguatkan hatinya.

"Saya pun akan sihat seperti Nog Nog dan lelaki lain di kampung kami," katanya.

Sehingga kini, pasar ginjal di Bacesco sudah menjadi saksi 16,000 lelaki dibius di dewan pembedahan. Malah ribuan lagi yang berdebar menanti giliran.

Pasaran ginjal di Manila begitu kompetitif hingga ejen berlumba-lumba mencari penjual ginjal.

Malah aktiviti ejen pencari ginjal ini tidak terhad di Manila tetapi hingga ke ceruk pelusuk Filipina.

Selepas dikenal pasti, mereka akan melalui beberapa rutin pemeriksaan kesihatan sebelum ginjal mereka diambil. Dalam usaha menarik perhatian penjual ginjal, ejen akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada penjual. Mereka diberikan elaun RM38 setiap kali menjalani ujian kesihatan selain RM770 sebagai bonus.

Jika mereka tidak memiliki wang untuk membeli kad telefon, ejen akan membelikannya untuk mereka. Ini akan memudahkan ejen memantau perkembangan si penjual ginjal saban bulan sebelum pembedahan.

Jerry Villegas, 33, menjual ginjalnya pada harga 100,000 pesos (RM7,671) kepada lelaki Jepun tetapi dia hanya menerima RM6671. Bakinya diambil oleh ejen.

"Rumah saya hangus terbakar. Saya ada lima anak kecil dan perlu memberi mereka tempat berteduh. Saya tidak ada pilihan selain menjual ginjal," katanya.

Proses pembedahan ginjal biasanya dilakukan di hospital swasta seluruh Manila. Bagaimanapun lokasi paling popular adalah di Institut Pendermaan Ginjal Kebangsaan milik kerajaan. Ia terletak di Bandar Quezon dan dilengkapi kemudahan perubatan serba canggih.

Antara mereka yang sanggup merentas lautan membeli ginjal adalah Mark Schofield, 43 lelaki dari South Wales. Dia sudah menunggu lebih empat tahun untuk pemindahan ginjal di Britain tetapi masalah kesihatannya semakin buruk dan dia tidak sanggup lagi menunggu.

Dia terbang ke Filipina dan menghabiskan RM268,000 dalam simpanannya untuk membeli ginjal

baru.

"Saya belum mahu mati. Anak saya masih kecil. Kerana itu saya perlu ke Filipina memperjudikan nasib kalau ada yang sudi menjual ginjal mereka," katanya.

Di Britain seramai 6,500 orang berada dalam senarai menunggu untuk menerima ginjal tetapi hanya 1,800 pemindahan ginjal dibuat setiap tahun. Menurut Pertubuhan Perubatan British seorang pesakit meninggal setiap hari dalam menunggu.

Schofield menghabiskan masa dengan mesin dialisis setiap hari sejak disahkan berhadapan dengan masalah ginjal sejak 20 tahun lalu. Ibunya Jean sudah mendermakan satu ginjalnya kepada Schofield tetapi lelaki itu masih memerlukan satu lagi ginjal. Bagaimanapun kerana dia memiliki jenis darah yang jarang ditemui di Britain, usaha itu sangat sukar.

"Kalau saya boleh mendapatkan ginjal di negara ini saya tidak akan ke negara lain tetapi di Britain, saya boleh dipenjarakan jika membeli ginjal,"katanya.

Sebelum ke Filipina, Schofield ditawarkan membeli ginjal di China tetapi dia menolaknya kerana takut tertipu. Sebaliknya dia ke Filipina kerana seorang pakar bedah di Manila menyakinkannya seorang penderma yang sesuai sudah ditemui.

Bagaimanapun, harapan itu hancur apabila ginjal yang dijual tidak sesuai untuknya dan dia perlu meneruskan hidup dengan dialisis.

Bagaimanapun dia akan terus mencuba untuk membeli ginjal di Filipina kerana kerajaan negara itu memiliki skim khas yang melindungi 'penjual' organ dari segi sokongan ekonomi dan perubatan. Walaupun mendapat kritikan hebat, skim itu diperkenalkan bagi mengelakkan organ dijual beli di pasaran gelap.

Bagaimanapun, Kerajaan Filipina minggu lalu menarik balik kebebasan perdagangan ginjal kepada warga asing. Ini disebabkan, Filipina dikerumuni ramai pelancong asing yang datang membeli ginjal bukan untuk melancong.

"Kami tidak mahu Filipina terkenal sebagai pusat pembelian ginjal utama di Asia," menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Filipina.

"Kebanyakan penjual ginjal adalah orang miskin. Mereka menjual ginjal kerana desakan hidup tetapi sebenarnya mereka dieksploitasi secara tidak disedari."

Pengharaman menjual ginjal kepada orang asing itu diluluskan minggu lalu oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

Setiausaha Kebajikan Sosial Esperanza Cabral berkata, sebanyak 500 pemindahan ginjal dibuat kepada pesakit warga asing sejak tahun lalu. Tahun lalu saja, 109 penduduk kampung di sekitar Tenggara Manila menjual ginjal mereka kepada pelancong Israel dan Asia Barat.

INFO

Pasar Ginjal di Baseco


  • Urusan jual beli ginjal dibuat secara terbuka sejak 1990

  • Mendapat sambutan hebat golongan kaya di Filipina selain pelancong Jepun, Eropah dan Timur Tengah

  • Satu ginjal boleh dibeli dengan harga RM268,000 termasuk kos hospital

  • Penjual ginjal di Manila kebanyakannya penduduk miskin

  • Satu ginjal dijual pada harga paling rendah RM6,700

  • Urusan jual beli ginjal dilakukan orang tengah

  • Tahun lalu, sebanyak 500 pemindahan ginjal dibuat kepada pesakit warga asing

  • Daripada jumlah itu 109 membabitkan pesakit dari Israel dan Timur Tengah

  • Perdagangan jual beli ginjal membabitkan warga asing diharamkan Kerajaan Filipina mulai minggu lalu.
  • Tiada ulasan:


    ClusterMaps

    Jumlah pelawat.

    Powered By Blogger